KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dipinda secara menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus institusi itu, termasuk melarang ahli politik aktif daripada menerajui lembaga pengarah dan syarikat-syarikat subsidiarinya.
Menerusi Laporan RCI TH yang didedahkan hari ini, suruhanjaya itu berpandangan beberapa peruntukan baharu perlu diwujudkan bagi memastikan pelantikan anggota Lembaga TH dibuat secara lebih telus, profesional dan berasaskan merit.
Antara syor utama ialah menetapkan kriteria yang jelas terhadap individu yang layak dilantik sebagai anggota Lembaga, termasuk kaedah pemilihan serta bidang kepakaran yang perlu dimiliki bagi memastikan lembaga mempunyai keupayaan mengurus institusi berkenaan secara berkesan.
RCI turut mencadangkan supaya Akta 535 dipinda bagi melarang mana-mana ahli politik yang masih aktif daripada dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH serta syarikat-syarikat di bawahnya.
Selain itu, suruhanjaya berkenaan mengesyorkan setiap keputusan untuk membatalkan pelantikan anggota Lembaga dirujuk terlebih dahulu kepada sebuah jawatankuasa atau badan penasihat bebas yang dicadangkan untuk ditubuhkan.
Dalam masa sama, sebarang penamatan perkhidmatan anggota Lembaga juga perlu disertakan alasan yang munasabah sebelum tindakan itu diambil bagi memastikan proses berkenaan dilaksanakan secara adil dan telus.
Laporan itu turut mengesyorkan supaya penubuhan Jawatankuasa Urusan Haji, Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Panel Pelaburan diperuntukkan secara khusus di bawah Akta 535.
Menurut RCI, akta tersebut juga perlu memasukkan peruntukan berkaitan urusan pentadbiran jawatankuasa, termasuk kuorum mesyuarat, undi pemutus pengerusi, kekosongan jawatan, hilang kelayakan serta kewajipan mendedahkan sebarang konflik kepentingan.
Bagi memastikan ketelusan dalam agihan keuntungan kepada pendeposit, RCI mencadangkan peruntukan lebih jelas diwujudkan berhubung pengiraan hibah, dengan pembayaran hanya dibuat berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit mengikut piawaian perakaunan semasa yang ditetapkan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Dalam syor yang sama, RCI turut mencadangkan sebuah jabatan baharu dikenali sebagai Dana Haji diwujudkan bagi menguruskan pelaburan TH di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Suruhanjaya itu juga mengesyorkan pindaan terhadap Seksyen 26 Akta 535 bagi mengecualikan TH daripada pemakaian Akta Badan Berkanun (Akuan dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240), selaras dengan cadangan penambahbaikan struktur tadbir urus institusi berkenaan.










