Rakyat Sabah Digesa Tolak ‘Eksport’ Budaya Demonstrasi Jalanan Luar – G57

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa semua pihak agar menghentikan sebarang penganjuran demonstrasi jalanan di Sabah bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan asing ke negeri itu tidak terjejas.

​Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata landskap politik dan keharmonian di Sabah seharusnya dipelihara, dan bukannya dicemari dengan budaya luar yang cuba mencetuskan provokasi melampau.

​Beliau berkata kestabilan yang dinikmati ketika ini telah berjaya menarik pelbagai pelaburan besar termasuk pembukaan kilang-kilang pembuatan berskala tinggi yang membuka ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

​”Mesej ini kami cuba sampaikan kepada kerajaan… teruskan berbakti kepada rakyat. Kita dapat nampak reserve kewangan mencanak naik, kadar KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) meningkat dan paling ketara adalah pembukaan kilang-kilang di sini.

​”Hampir 4,000 ke 5,000 anak-anak Sabah bekerja di sana sekarang yang mana sebelum ini peluang sedemikian tidak ada. Jadi untuk apa kita adakan demo jalanan yang hanya memporak-perandakan keadaan sedangkan kita perlu fokus membina ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan aman itu di Lintasan Deasoka, di sini hari ini.

​Zulkarnain yang juga Pengerusi G57 berkata perhimpunan aman ‘Bangkit Sabahan 2.0’ itu dihadiri kira-kira 600 peserta yang mewakili tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar, sebagai simbolik solidariti rakyat tempatan yang mahukan keamanan.

​Beliau turut menegaskan bahawa sebarang usaha untuk ‘mengeksport’ budaya demonstrasi jalanan yang tidak sihat dari Semenanjung ke negeri itu perlu disekat demi mengekalkan keharmonian masyarakat sivil di Sabah.

​”Rakyat Sabah tahu cara menguruskan politik mereka sendiri dan kita menolak sebarang cubaan pihak luar yang cuba mengajar perkara yang tidak beradab di negeri ini.

​”Pilihan raya telah pun selesai, sekarang adalah masa untuk semua pihak bekerjasama membangunkan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat, bukannya mencetuskan kesesakan lalu lintas atau ketegangan yang tidak memberi keuntungan kepada sesiapa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles