KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO mahu lebih ramai wakil sayap itu diberi kepercayaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, peluang kepada wanita muda perlu diperluaskan susulan kejayaan dua wakil Puteri, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim dan Siti Nur Umaira Hasim, yang diberi tanggungjawab sebagai calon pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, pencalonan kedua-dua wakil berkenaan membuktikan wanita muda bukan sekadar mampu menggerakkan jentera parti, malah berkeupayaan memimpin serta membawa suara rakyat.
“Along mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan parti, terutama YAB Presiden kerana memberi kepercayaan kepada wakil Puteri untuk menjadi calon di PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan.
“Along harapkan akan ada lagi calon daripada Puteri UMNO dalam PRN dan PRU akan datang,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Nurul Amal menegaskan, peluang kepada wanita muda tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan usia atau jantina, sebaliknya perlu berasaskan kemampuan, rekod kerja serta tahap penerimaan rakyat.
Katanya, ruang kepimpinan juga perlu dibuka lebih luas, bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
“Wanita muda bukan sekadar diperlukan untuk menggerakkan jentera, bukan sekadar memenuhi dewan dan bukan sekadar menjadi wajah kempen.
“Kita mesti diberikan ruang untuk memimpin,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan wakil rakyat daripada Puteri bahawa kemenangan dalam pilihan raya bukanlah noktah kepada perjuangan, sebaliknya permulaan kepada amanah yang jauh lebih besar.
Katanya, wakil rakyat perlu terus mendampingi masyarakat tanpa mengira sama ada mereka mengundi atau tidak, selain memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Yang paling penting bukan gelaran di hadapan nama kita tetapi kepercayaan yang rakyat letakkan di belakang nama kita,” katanya.










