PRN Sarawak Boleh Digabung Dengan PRU, Jimat Kos

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak semestinya diadakan secara berasingan kerana ia boleh dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berpandangan, pelaksanaan pilihan raya secara serentak merupakan pendekatan yang lebih praktikal, khususnya jika beberapa negeri turut mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam tempoh yang sama.

Menurutnya, penggabungan PRN dan PRU bukan sahaja memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya, malah mampu menjimatkan kos yang besar berbanding mengadakannya secara berasingan.

“Secara peribadi, saya melihat pilihan raya umum dan pilihan raya negeri boleh dilaksanakan serentak. Jika banyak negeri membubarkan DUN pada masa yang sama, maka pilihan raya negeri dan Parlimen boleh diadakan sekali gus bagi mengurangkan perbelanjaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) kementeriannya di Kuching, hari ini.

Mengulas spekulasi bahawa PRN Sarawak mungkin diadakan lebih awal susulan perkembangan politik semasa di Semenanjung Malaysia, Abdul Karim menegaskan bahawa keputusan berhubung pembubaran DUN Sarawak adalah hak mutlak Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, hanya Premier Sarawak mengetahui masa paling sesuai untuk memanggil pilihan raya kerana beliau merupakan individu yang akan menasihati Yang di-Pertua Negeri Sarawak berhubung pembubaran DUN.

“Apabila Premier memutuskan untuk membubarkan DUN dan perkara itu dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, proses seterusnya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh pengundian,” katanya.

Abdul Karim turut memberi bayangan bahawa sebarang keputusan mengenai tarikh PRN Sarawak akan dibuat berdasarkan pertimbangan kepimpinan negeri dan bukannya dipengaruhi oleh spekulasi politik semasa.

BBerkaitan

Latest articles