MARANG: PAS bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah menyediakan beberapa langkah alternatif sekiranya Barisan Nasional (BN) memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun majoriti pimpinan BN bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan PN, keputusan muktamad berhubung perkara itu masih belum dicapai memandangkan rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan.
Menurut beliau, PAS dan PN mempunyai strategi serta hala tuju tersendiri bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu-Islam serta penglibatan parti bukan Islam yang tidak ekstrim.
”Kita dimaklumkan pimpinan BN masih bercelaru dan berbelah bagi, walaupun majoriti pimpinan parti itu bersetuju kerjasama dengan PN diteruskan.
”Namun, PAS yang menerajui gabungan PN sudah ada alternatif jika BN memilih untuk berpakat dengan PH pada PRN Melaka nanti,” katanya selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini yang mengumpamakan gabungan itu seperti ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan parti politik lain untuk dipinang menjelang PRN Melaka.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menyuarakan keyakinan bahawa proses rundingan dan pembentukan kerjasama politik bagi PRN Melaka adalah lebih mudah berbanding dinamika politik yang dihadapi ketika PRN Johor sebelum ini.
Beliau menjelaskan, keyakinan tersebut berlandaskan maklum balas positif yang diterima daripada peringkat akar umbi serta perkembangan senario politik semasa.
”Situasi pada PRN Johor sebelum ini lebih rumit, namun laluan serta keadaan di Melaka dilihat lebih mudah untuk diuruskan,” katanya.










