Polis Tahan 18 Orang Leka Main Judi Ketika PKP

Polis bertindak menangkap 18 orang termasuk tujuh daripadanya warga emas yang berjudi dan turut merampas wang berjumlah RM16,000 di sebuah rumah di Sama Gagah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Serbuan pada pukul 4 petang itu dijalankan oleh sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hasil maklumat awam dan risikan.

Menurut sumber dalam laporan BERNAMA, dalam serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan untuk berjudi antaranya kepingan cip pelbagai warna, batu mahjong dan wang tunai sebanyak RM16,000, dipercayai duit untuk pertaruhan.

“Berdasarkan siasatan awal, rumah kampung dua tingkat itu disewa kumpulan tersebut untuk menjalankan aktiviti perjudian dan permainan mahjong sempena Tahun Baharu Cina, dan polis menahan 17 lelaki serta seorang wanita warga Myanmar yang kesemuanya berusia 30 hingga 80 tahun,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra’ais ketika dihubungi, mengesahkan penahanan mereka dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya semua mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana bermain judi dan turut dikompaun serta disiasat kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BBerkaitan

Latest articles