PM Umum Bantuan Ringankan Beban Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR : Mangsa banjir di seluruh negara akan menerima kemudahan penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri, berkata bantuan itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang akan dilaksanakan beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir.

Katanya, mereka juga layak memohon pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

“RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

“Moratorium (rehat bayaran) enam bulan pertama diberikan ke atas pembayaran ansuran bulanan dan ia terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri, berkata TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir bagi PMKS yang terkesan.

“Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan,” katanya.

Beliau, berkata Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

Katanya, BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

“Kesemua inisiatif di atas adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah saya umumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles