KUALA LUMPUR: Tiada siapa akan dilindungi jika wujud pelanggaran tatakelola dalam mana-mana anak syarikat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, beliau sendiri mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap mana-mana anak syarikat Khazanah yang menimbulkan keraguan, termasuk entiti yang ditubuhkan sejak 2012.
Menurutnya, penemuan itu timbul ketika semakan lanjut dilakukan terhadap sejarah dan operasi beberapa entiti di bawah Khazanah.
“Ada sejarah yang dirungkai baru-baru ini dilakukan Khazanah. Tetapi apabila digali, rupanya ada syarikat yang ditubuhkan sejak 2012 yang menimbulkan keraguan mengenai tatakelola.
“Apa keputusan saya? Saya kata, tidak kira walaupun Pengerusi Khazanah sekarang adalah Perdana Menteri, kalau ada pelanggaran tatakelola, siasat. Ini baru kita tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Temu Anwar bersama Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026, hari ini.
Anwar pada masa sama mengakui pengurusan Khazanah ketika ini mengamalkan tatakelola yang baik, namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup sebarang kelemahan atau masalah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Katanya, Mesyuarat Lembaga Khazanah yang berlangsung di Bangunan UEM, pagi tadi, turut bersetuju supaya setiap aspek yang menimbulkan persoalan diteliti dan disiasat.
“Mesyuarat pagi tadi di Bangunan UEM, Mesyuarat Lembaga Khazanah memutuskan untuk siasat apa-apa aspek supaya kita bersihkan, walaupun ia (syarikat) adalah warisan saki-baki lama,” katanya.










