PM arah semua agensi bantu Keluarga Malaysia yang Ditimpa Musibah Banjir

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha membantu Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, Ismail Sabri turut mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan Angkatan Pertahanan Awam ke lokasi terjejas banjir bagi memindahkan mangsa.

“Saya menerima laporan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air sejak semalam… Pastikan operasi menyelamat mangsa berjalan dengan lancar, stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya,” kata beliau.

Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku selain mematuhi setiap arahan agensi keselamatan selain peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.

Setakat jam 9 malam ini, tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Selangor termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles