KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas 18 tahun bersama parti itu, sambil melontarkan kritikan terbuka terhadap kepimpinan yang didakwanya gagal mempertahankan prinsip perjuangan asal parti.
Dalam kenyataan yang dikongsi hari ini, Chean Chung menegaskan beliau kekal sebagai anggota PKR dan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.
Bagaimanapun beliau mengakui tidak lagi mampu bekerjasama dengan barisan kepimpinan parti yang menurutnya lebih cenderung mempertahankan kedudukan masing-masing berbanding membetulkan kelemahan dalam organisasi.
Menurut Chean Chung, keputusan itu dibuat selepas beliau gagal memperoleh penjelasan memuaskan berhubung pembatalan akses sistem MyKhas yang didakwa menjejaskan urusan peruntukan kawasan Parlimen Petaling Jaya serta pelaksanaan Program Mesra Rakyat sejak 29 Mei lalu.
“Saya hanya mahukan satu penjelasan yang munasabah. Sehingga hari ini, tiada penjelasan rasmi diberikan kepada saya mahupun para pengundi,” katanya.
Mengimbau perjalanan politiknya, Chean Chung berkata beliau menyertai PKR ketika parti itu masih bergelut sebagai pembangkang dan berdepan pelbagai kekangan kewangan.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengetuai pembangkang sebelum pulang ke Kuantan pada 2012 untuk mengukuhkan gerakan parti di peringkat akar umbi.
Beliau turut menceritakan bagaimana pusat khidmat pertamanya beroperasi dalam ruang pejabat yang dikongsi bersama pihak lain kerana kekurangan dana, selain hanya mampu memberikan elaun minimum kepada kakitangannya ketika itu.
Menurutnya, perjuangan PKR suatu ketika dahulu dibina atas semangat pengorbanan, kutipan dana secara kecil-kecilan serta sokongan rakyat biasa yang sanggup membantu tanpa mengharapkan balasan.
Chean Chung berkata beliau turut terlibat secara aktif dalam pelbagai gerakan reformasi termasuk kempen #KitaLawan, himpunan solidariti membela Anwar Ibrahim, kempen Sejuta Tandatangan Bebaskan Anwar serta pelbagai aktiviti alam sekitar dan pendidikan politik yang bertujuan memperkukuhkan asas perjuangan parti.
Beliau menegaskan penglibatannya dalam gerakan tersebut bukan kerana mengejar kedudukan atau kemudahan, malah pernah berdepan risiko kehilangan status sebagai wakil rakyat apabila didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman.
“Jika saya mahukan kemudahan atau sumber, saya tidak akan turun berdemontrasi ketika Anwar dipenjarakan sehingga hampir kehilangan kedudukan dan pencen sebagai wakil rakyat,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Chean Chung melahirkan kekecewaan apabila mendakwa PKR kini semakin jauh daripada nilai perjuangan yang pernah diperjuangkan bersama oleh generasi awal parti.
“PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu. Demi mempertahankan kedudukan masing-masing, ada dalam kalangan kepimpinan yang tidak sanggup tampil membetulkan kesilapan parti,” katanya.
Walaupun melepaskan jawatan dalam kepimpinan pusat, beliau menegaskan akan terus memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen dan anggota biasa PKR, termasuk memastikan agenda reformasi institusi terus diperjuangkan.
Antara perkara yang akan terus diberi perhatian ialah usaha meluluskan rang undang-undang berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Akta Kebebasan Maklumat yang disifatkannya sebagai komitmen penting terhadap agenda reformasi negara.










