PH Tawar Pembangunan Lebih Seimbang Untuk Johor, Bukan Gugat Keharmonian

BATU PAHAT: Pakatan Harapan (PH) menegaskan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan bertujuan menggugat kestabilan politik negeri, sebaliknya mahu menawarkan model pembangunan yang lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua daerah.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Johor mempunyai potensi ekonomi yang besar, namun pendekatan pembangunan sedia ada perlu diperkemaskan supaya manfaatnya tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu.

Menurut beliau, jurang pembangunan antara Johor Bahru dengan daerah lain seperti Segamat masih ketara, sekali gus memerlukan dasar yang lebih inklusif bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati secara lebih adil.

“Johor bukan hanya Johor Bahru. Negeri ini turut mempunyai kawasan di utara, timur dan barat yang perlu diberi perhatian. Perbezaan pendapatan antara penduduk di Johor Bahru dan Segamat, misalnya, masih jelas, sebab itu kita mahu membawa perubahan dan mentadbir Johor dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Ke Depan Undi Harapan di Pekan Senggarang, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Amirudin, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, berkata Johor merekodkan pelaburan berjumlah RM101 bilion tahun lalu, namun jumlah peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan masih belum sepadan dengan nilai pelaburan tersebut.

Beliau membandingkan pencapaian itu dengan Selangor yang menerima pelaburan RM83 bilion tetapi berjaya menghasilkan kira-kira 60,000 peluang pekerjaan baharu, manakala Johor dianggarkan mewujudkan kurang daripada 40,000 pekerjaan.

Katanya, sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pelaburan berimpak tinggi dengan kerjasama kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan anak muda Johor untuk berulang-alik ke Singapura bagi mencari rezeki.

Amirudin turut berkata pentadbiran PH akan mengamalkan pendekatan kepimpinan yang lebih terbuka dan inklusif bagi memastikan Johor berkembang sebagai sebuah negeri maju yang menjadi kebanggaan rakyat serta negara.

Pilihan Raya Negeri Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding, dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.

BBerkaitan

Latest articles