PH Perlu Kembali Kepada Nilai Asal Jika Mahu Relevan Semula – Nik Nazmi

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu kembali kepada prinsip dan nilai asal perjuangannya jika mahu meraih semula kepercayaan rakyat serta kekal relevan dalam landskap politik negara, bukannya terus menyandarkan kekalahan kepada faktor politik perkauman atau politik identiti.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kekalahan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak seharusnya dijelaskan semata-mata dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memainkan sentimen kaum dan identiti.

Menurut beliau, penjelasan sedemikian terlalu mudah serta gagal menyentuh punca sebenar yang menyebabkan gabungan itu kehilangan sokongan rakyat.

“Saya memang tidak setuju dengan politik identiti mahupun politik perkauman. Sebab itulah saya berada dalam Bersama yang bersifat pelbagai kaum.

“Namun ada beberapa perkara yang menjadi masalah kepada PH. Semuanya berpunca daripada pendekatan sejak awal membentuk Kerajaan Perpaduan dengan hasrat membawa BN bersama sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Nik Nazmi turut menolak dakwaan bahawa penubuhan Bersama menjadi penyebab kemerosotan sokongan terhadap PH.

Beliau menegaskan parti itu tidak bertanding di mana-mana kerusi pada PRN Negeri Sembilan, sekali gus tidak wajar dipersalahkan atas prestasi gabungan tersebut.

Mengulas strategi kempen PH, beliau berpendapat tindakan mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) ketika tempoh berkempen bukan pendekatan yang berkesan untuk mempengaruhi pengundi.

Katanya, kandungan laporan RCI TH bukan isu yang mudah difahami masyarakat umum, selain sukar diterjemahkan kepada naratif politik yang mampu memberi impak dalam tempoh singkat.

“Soal RCI TH, perkara yang telah siap begitu lama tiba-tiba didedahkan untuk tatapan umum ketika kempen PRN Negeri Sembilan.

“Rakyat tidak bodoh. Apabila sesuatu isu dilihat dijadikan senjata politik pada saat akhir, sudah tentu keberkesanannya akan berkurangan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN muncul pemenang PRN Negeri Sembilan dengan menguasai 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH pula memenangi 11 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus menamatkan pentadbiran dua penggal PH di Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles