PETRONAS Sahkan Insiden Tiga Kru Kaut Dalam Insiden Bot Penyelamat

KUALA TERENGGANU: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengesahkan tiga pekerja kontraktornya maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden membabitkan bot penyelamat di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, semalam.

Menurut PETRONAS, kejadian itu berlaku ketika kerja penyelenggaraan sedang dijalankan dan siasatan lanjut kini dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.

“PETRONAS merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja mangsa yang meninggal dunia. Keutamaan segera syarikat ialah memastikan kebajikan serta sokongan diberikan kepada semua yang terkesan,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, keempat-empat mangsa dipercayai berada dalam sebuah bot penyelamat yang diturunkan ke laut untuk menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dilaporkan berkata, tali atau cangkuk yang menyokong bot itu dipercayai tercabut secara tiba-tiba sebelum bot berkenaan terhempas ke laut bersama semua mangsa.

Tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

BBerkaitan

Latest articles