SEREMBAN: Kemelut berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila peguam kepada Undang Yang Empat mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ingkar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung pelaksanaan Proklamasi Perkara 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Peguam berkenaan, Emirul Sarifudin Nor Azmi, mendakwa MMKN pada 15 September lalu sebulat suara memutuskan untuk menerima serta melaksanakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos lalu, selain mengarahkan SUK mewartakan dokumen berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, SUK pada 17 September mengeluarkan kenyataan awam yang menyatakan pendirian untuk tidak mewartakan proklamasi tersebut.
Menurutnya, tindakan itu didakwa bertentangan dengan arahan MMKN dan boleh menimbulkan isu tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Keingkaran terhadap arahan dan keputusan MMKN yang dipengerusikan Menteri Besar adalah bertentangan dengan peraturan tatatertib pegawai awam,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau turut mendakwa kenyataan awam SUK berhubung pendirian tersebut dibuat tanpa kebenaran bertulis Menteri Besar dan/atau MMKN, sekali gus berpotensi melanggar peruntukan berkaitan kenyataan awam oleh pegawai awam.
Dalam pada itu, Emirul mendakwa SUK telah melampaui bidang kuasanya dengan mengambil pendirian yang bertentangan dengan keputusan MMKN serta pendirian Undang Yang Empat.
Beliau turut menegaskan bahawa pandangan daripada mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan, termasuk Jabatan Peguam Negara, tidak boleh dianggap sebagai arahan yang mengikat SUK.
“Yang mengikat YB SUK ialah keputusan eksekutif MMKN,” katanya.
Lebih jauh, beliau mendakwa tindakan menghalang pelaksanaan proklamasi berkenaan secara langsung menjejaskan pelaksanaan kuasa perlembagaan Raja Pemerintah seperti yang dihujahkan berasaskan UUTKNS dan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, MMKN digesa meminta Ketua Setiausaha Negara memulakan prosiding tatatertib terhadap Dato’ Mohd Zafir Ibrahim serta mengambil tindakan segera untuk memindahkannya daripada jawatan SUK Negeri Sembilan.
Peguam itu turut menegaskan bahawa proklamasi berkenaan, menurut pendirian pihaknya, sudah sempurna dari sudut pentadbiran selepas ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos lalu.
Katanya, pewartaan bukanlah syarat yang menentukan kesahan atau kuat kuasa proklamasi tersebut, justeru tindakan menjadikan pewartaan sebagai prasyarat didakwa tidak mempunyai asas dalam UUTKNS.
Beliau juga mendakwa pendirian yang meletakkan pewartaan sebagai syarat berkuat kuasanya proklamasi boleh dilihat sebagai usaha memindahkan kuasa yang diperuntukkan kepada Undang Yang Empat kepada pihak lain.
Pertikaian ini berlaku ketika kesahihan proklamasi 19 April dan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terus menjadi pertikaian antara pihak-pihak berkuasa negeri.
Kerajaan Negeri sebelum ini mengambil pendirian bahawa proklamasi berkenaan sah, manakala Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.










