Persempadanan Semula: Kerajaan Digesa Tubuh Badan Bebas Ikut Syor ERC

​KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar merujuk kepada Laporan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) serta menubuhkan sebuah badan bebas bagi mengendalikan proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya di negara ini.

​Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu penting bagi memastikan proses pemetaan semula sempadan telus dan bebas daripada sebarang pengaruh atau campur tangan eksekutif yang dikhuatiri terdedah kepada manipulasi politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

​Beliau yang juga bekas ahli ERC berkata, meskipun menyambut baik perbincangan mengenai isu persempadanan semula, beliau melahirkan rasa kesal apabila kajian mendalam serta syor komprehensif yang dihasilkan jawatankuasa berkenaan, ditubuhkan pada 2018 dan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, seolah-olah diketepikan begitu sahaja.

​”Laporan ini seharusnya dibentangkan di Parlimen untuk menjadi input penting dalam mana-mana perbincangan mengenai reformasi pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan bahawa isu ketidaksamaan saiz pengundi (malapportionment), khususnya di Semenanjung Malaysia, menuntut reformasi struktur yang sebenar dan bukannya sekadar pendekatan ad-hoc, memandangkan terdapat kawasan yang terlalu besar berbanding kawasan lain.

​Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada langkah persempadanan semula yang diutarakan kerajaan benar-benar ikhlas demi memperbetulkan sistem demokrasi atau sekadar tindakan tergesa-gesa pihak tertentu.

​Sehubungan itu, menjelang persidangan Dewan Rakyat tidak lama lagi, beliau mendesak supaya Laporan ERC dibentangkan di Parlimen, di samping pembentukan sebuah badan bebas segera bagi menjamin integriti serta keadilan proses persempadanan semula.

BBerkaitan

Latest articles