KUALA LUMPUR, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu surat rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan sebelum mengambil tindakan melaksanakan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini pihaknya belum menerima pemakluman rasmi secara bertulis mengenai keputusan berkenaan.
“Di KDN, di mana Jabatan Penjara di bawahnya, pertama kita akan menunggu surat rasmi memaklumkan kepada kita tentang keputusan oleh Lembaga Pengampunan semalam.
“Setakat ini kita belum terima apa-apa. Daripada pemakluman itu nanti, barulah kita jelas apakah tindakan selanjutnya yang akan kita ambil,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata, KDN dan Jabatan Penjara akan melaksanakan keputusan berkenaan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada selepas menerima pemakluman rasmi yang lazimnya disampaikan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Najib turut dikehendaki mematuhi syarat yang ditetapkan dan sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan bersyarat itu terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Saifuddin berkata, prosedur sama digunakan selepas keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024 yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan terdahulu menetapkan Najib dibebaskan pada 23 Ogos 2028 sekiranya denda RM50 juta dibayar, manakala kegagalan membayar denda menyebabkan tarikh pembebasannya menjadi 23 Ogos 2029.
Mengulas lokasi tahanan rumah Najib, termasuk sama ada ia akan dilaksanakan di kediamannya di Langgak Duta atau premis lain, Saifuddin berkata perkara itu hanya dapat dipastikan selepas KDN meneliti surat rasmi Lembaga Pengampunan.
“Kita akan tengok dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu, sama ada dia tetapkan premis ataupun dia serahkan kepada Jabatan Penjara.
“Sebab itu saya kata saya nak tengok dulu surat itu. Maksudnya, sekarang ini tempoh Datuk Seri Najib menjalani hukuman penjara. Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain,” katanya.
Menurutnya, surat berkenaan juga penting bagi menentukan sama ada Lembaga Pengampunan menetapkan keseluruhan kaedah pelaksanaan atau memberi kuasa lanjut kepada Jabatan Penjara untuk menentukan mekanismenya.
“Apakah butiran keputusan itu, dia akan sampai dalam surat itu.
“Berdasarkan kepada surat itu, sama ada dia terhad kepada keputusan Lembaga ataupun Lembaga turut memberi kuasa lagi kepada Jabatan Penjara. Semua itu kami akan teliti,” katanya.
Malaysia belum ada Akta Tahanan Rumah
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menjelaskan Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus mengenai tahanan rumah.
Katanya, cadangan Akta Tahanan Rumah yang pernah dibangkitkan KDN sebelum ini mempunyai konteks berbeza, iaitu sebagai mekanisme menangani kesesakan penjara terutama membabitkan tahanan reman.
“Kita belum ada akta undang-undang mengenai tahanan rumah. Tempoh hari saya berura-ura untuk membuatnya khusus untuk tahanan reman,” katanya.
Beliau berkata, negara kini mempunyai 41 penjara dengan kira-kira 93,000 penghuni berbanding kapasiti sekitar 75,000 orang.
Menurut Saifuddin, penghuni penjara terdiri daripada banduan yang telah disabitkan kesalahan serta tahanan reman yang masih melalui proses perbicaraan tetapi tidak dibenarkan ikat jamin atau gagal menyediakan jaminan.
Katanya, KDN sebelum ini telah mendapat persetujuan dasar Kabinet untuk memulakan proses menggubal Akta Tahanan Rumah bagi membolehkan tahanan reman tertentu ditempatkan di rumah dengan pergerakan mereka dipantau menggunakan peranti moden sehingga tarikh perbicaraan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan undang-undang itu pada asalnya dirangka bagi menangani isu kesesakan penjara melibatkan tahanan reman dan bukannya khusus berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.










