KUALA LUMPUR: Krisis istana dan pentadbiran Negeri Sembilan perlu diselesaikan melalui meja rundingan, dengan kerajaan negeri bertindak sebagai penghubung antara Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar bagi mengembalikan keharmonian.
Veteran politik, Tan Sri Rais Yatim, berkata pihak berkecuali wajar dilibatkan dalam rundingan bagi mencari titik persefahaman antara kedua-dua pihak tanpa campur tangan pihak luar.
Katanya, sebarang kesilapan yang berlaku perlu diakui dan diselesaikan secara muafakat, selaras dengan prinsip adat Negeri Sembilan.
“Kerajaan negeri sebagai jambatan harus mencari orang yang neutral bersama memulihkan keadaan dan pulang ke pangkal jalan.
“Yang mana silap Yang di-Pertuan Besar diakui, begitu juga dengan silap Undang,” katanya memetik BH.
Rais yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, dengan mengemukakan pandangan bagi memulihkan keharmonian negeri.
Beliau turut mencadangkan perkara berkaitan pentadbiran negeri dibincangkan semula dalam mesyuarat EXCO minggu depan.
Krisis itu tercetus sejak April lalu apabila Undang Yang Empat mengumumkan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar sebelum memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Menurut Rais, dari sudut adat Diraja, keabsahan kedudukan Tuanku Muhriz kini menjadi persoalan susulan proklamasi dan pelantikan baharu oleh Undang Yang Empat.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya undang-undang berkaitan Luak dikodifikasikan dan dimasukkan dalam Perlembagaan bagi mengelakkan pertikaian sama berulang pada masa depan.










