RCI Tabung Haji: Azeez, Keluarga Diberi Sebulan Isytihar Harta

KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluas tindakan susulan siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji apabila bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta ahli keluarganya diarahkan mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh sebulan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata notis berhubung perkara itu sudah diserahkan kepada Azeez serta ahli keluarganya, termasuk anak-anak, pada minggu ini mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, borang berkaitan turut diserahkan bagi membolehkan pengisytiharan dan pelaporan harta dibuat kepada SPRM dalam tempoh ditetapkan.

“Kami juga sudah menyerahkan notis kepada Datuk Seri Azeez dan ahli keluarganya untuk mengisytiharkan hartanya dalam tempoh sebulan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Notis berkenaan disampaikan kepada beliau dan ahli keluarganya dan ada borang tertentu diberikan bagi pelaporan harta tersebut dilakukan atau dilaporkan kepada pihak SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Maktab Penjara Kajang, hari ini.

Arahan pengisytiharan harta itu hadir ketika siasatan berkaitan RCI Tabung Haji terus berkembang, dengan SPRM setakat 18 September lalu sudah mendakwa enam individu membabitkan lapan isu atau kes.

Dalam perkembangan sama, SPRM memaklumkan lima lagi siasatan berkaitan RCI Tabung Haji masih berjalan, termasuk isu yang memerlukan penelitian lanjut serta pengumpulan maklumat dan dokumen berkaitan.

Azeez sebelum ini didakwa pada 9 September lalu atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, berkaitan dakwaan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan kepentingan dalam cadangan pelaburan bernilai RM193.5 juta.

Siri pendakwaan itu merupakan antara tindakan undang-undang yang menyusul selepas Laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum, dengan beberapa bekas pegawai kanan dan individu berkaitan turut berdepan pertuduhan serta siasatan berasingan.

BBerkaitan

Latest articles