‘Penyesuaian’ Politik Semasa UMNO Tak Sampai Menggadai Agenda Bangsa, Agama

 

 

 

KUALA LUMPUR: Dua episod pilihan raya umum yang tidak berpihak kepada UMNO tidak sesekali menyebabkan parti itu terpaksa menggadaikan agenda Melayu, Islam dan bumiputera.

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan parti itu tidak sama dengan beberapa pihak yang lain yang terpaksa mengambil langkah songsang dengan menjual kepentingan perjuangan mereka hanya kerana hendak mengekalkan kelangsungan parti.

 

Tambah Zahida, walaupun parti Melayu itu terpaksa melakukan beberapa penyesuaian mengikut keadaan semasa dan tuntutan politik, namun agenda Melayu tetap terpelihara.

 

“Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menceritakan sejarah bagaimana UMNO terpaksa melalui fasa-fasa tertentu yang menuntut ia membuat penyesuaian.

 

“Sejak Merdeka, peristiwa 13 Mei, pasca PRU 14 dan Pasca PRU15. Apa pun penyesuaian agenda Melayu tetap terpelihara.

 

“Sekarang agenda Melayu dan Islam tetap menjadi asas perjuangan UMNO,” katanya.

 

Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 berkata, dalam mendepani realiti politik baharu, penyesuaian dibuat tanpa menjejaskan soal keindukan Islam, menggadaikan maruah, agenda Melayu Bumiputera serta memperjudikan nasib rakyat.

 

Ahmad Zahid berkata, sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus mengorak langkah membawa Malaysia, muncul sebagai sebuah negara yang penuh dengan rekod kecemerlangan dan kejayaan hingga ke hari ini.

 

Dalam pada itu Zahida berkata, meskipun UMNO-BN kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, namun usaha untuk memberi keadilan dan kebebasan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah diabaikan Presiden UMNO.

 

“Dalam mendukung Kerajaan Perpaduan, Presiden masih menyuarakan keadilan untuk Datuk Seri Najib,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles