PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] yang bermula Jumaat lalu akan meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan, memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan.
Menerusi kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, mereka memaklumkan akta berkenaan turut meningkatkan kepastian undang-undang serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan.
“Akta ini juga membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan,” katanya pada Selasa.
Akta 877 yang mula berkuat kuasa pada 28 Ogos lalu menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa.
Menurut kenyataan itu, akta berkenaan berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL).
Bagaimanapun, ia telah disesuaikan dengan undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.
“Kerajaan komited untuk memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa,” ujar mereka.










