Penerbangan Haji Tergendala: 278 Jemaah Selamat, Berlepas Semula Ke Jeddah Esok

MAKKAH: Seramai 278 jemaah haji Malaysia yang menaiki penerbangan KT051 dijadualkan meneruskan perjalanan ke Jeddah awal pagi 6 Mei selepas pesawat mereka terpaksa mendarat di Muscat, Oman susulan isu teknikal.

Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), penerbangan gantian dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Muscat pada jam 3 pagi waktu tempatan sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah kira-kira jam 5.10 pagi waktu Arab Saudi, hari yang sama.

TH memaklumkan semua jemaah terlibat berada dalam keadaan selamat dan telah diberikan keperluan asas termasuk makanan serta minuman.

Mereka juga dibawa ke hotel penginapan bagi berehat sementara menunggu waktu pelepasan semula.

Bagi memastikan kebajikan jemaah terus terpelihara, petugas AMAL by Malaysia Airlines telah digerakkan ke lokasi dengan segera untuk memantau situasi serta memberi bantuan sewajarnya.

Sebelum ini, penerbangan berkenaan terpaksa melakukan pendaratan di Muscat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan masalah teknikal yang dikesan pada pesawat.

TH turut memberi jaminan bahawa keadaan adalah terkawal dan meminta ahli keluarga jemaah agar tidak bimbang kerana keselamatan semua penumpang sentiasa menjadi keutamaan.

BBerkaitan

Latest articles