Mayat Lelaki Ditemukan Dalam Ruang Simpanan Tayar Pesawat Berusia Antara 17 Hingga 25 Tahun

SEPANG: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan dalam keadaan mereput di ruang simpanan tayar sebuah pesawat yang diparkir di kawasan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, mayat itu ditemukan kira-kira jam 7 pagi oleh petugas lapangan terbang ketika menjalankan pemeriksaan rutin.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut prosedur kematian mengejut (SDR),” katanya.

Ravi berkata, berdasarkan saiz fizikal, mangsa dipercayai lelaki berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Ketika ditemukan, mangsa memakai hoodie putih bergambar naga di belakang dan tulisan Oakley di bahagian hadapan, seluar jeans biru muda serta kasut sukan hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti mangsa diminta menghubungi IPD KLIA di talian 03-8776 8222 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles