Penduduk Kuala Sungai Baru Terus Desak Laporan Penuh Insiden Putra Heights Didedahkan

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru tidak berganjak dengan tuntutan mereka supaya kerajaan Selangor segera mendedahkan laporan penuh siasatan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang berlaku pada April tahun lalu.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Badly Nordin, berkata pihaknya akan terus memberi tekanan kepada kerajaan negeri sehingga laporan lengkap mengenai tragedi itu didedahkan kepada orang ramai.

Beliau berkata, meskipun sebahagian penduduk sudah kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan ada yang kembali bekerja dan berpindah ke lokasi lain, usaha mendapatkan penjelasan berhubung punca sebenar kejadian itu tidak akan dihentikan.

“Kami tidak akan berputus asa. Penduduk berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan apakah punca letupan tersebut. Sehingga kini, kami masih menunggu penjelasan yang sewajarnya,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Menurut Badly, kelewatan mendedahkan laporan siasatan turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk yang mahu mengetahui perkembangan terkini, termasuk berkaitan tindakan undang-undang susulan insiden berkenaan.

Katanya, penduduk hanya mengharapkan jawapan yang jelas selepas menunggu sekian lama.

Sebelum ini, pada Jun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan laporan penuh siasatan akan diumumkan kepada umum dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai halangan untuk mendedahkan laporan itu, namun beberapa aspek membabitkan agensi persekutuan serta prosiding perundangan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum ia diterbitkan.

Bagi menjalankan siasatan bebas terhadap tragedi berkenaan, seramai lapan pakar profesional telah dilantik menganggotai jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Felo Penyelidik Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Khamarrul Azahari Razak.

Dalam kejadian pada 1 April tahun lalu, kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mengakibatkan 87 rumah musnah sepenuhnya manakala 148 lagi mengalami kerosakan. Tragedi itu turut menjejaskan lebih 1,200 penduduk daripada kira-kira 300 keluarga.

Pada Oktober tahun lalu pula, seramai 36 penduduk Putra Heights memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap lima pihak, termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Petronas Gas, bagi menuntut ganti rugi susulan insiden berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles