JITRA: Pasangan suami isteri yang menyerah diri kepada polis pagi tadi selepas dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan yang dipercayai berkait dengan hutang duit kutu.
Perintah reman sehingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri terhadap suspek masing-masing berusia 39 dan 36 tahun.
Ketua siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan penipuan.
Kes itu sebelum ini mendapat perhatian apabila pasangan terbabit bersama anak mereka dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam pada 20 Julai lalu.
Laporan kehilangan dibuat oleh bapa kepada wanita berkenaan yang berusia 62 tahun di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas gagal menghubungi anak perempuan, menantu dan cucunya.
Menurut ahli keluarga, kali terakhir mereka berhubung dengan ketiga-tiga mangsa adalah pada hari mereka dilaporkan hilang.
Siasatan polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan mendapati keluarga itu pulang ke rumah kira-kira jam 1.12 pagi Isnin lalu sebelum keluar semula beberapa ketika kemudian.
Semalam, polis memaklumkan tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak itu mempunyai kaitan dengan hutang bermain kutu selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000 akibat dipercayai diperdaya dalam skim berkenaan.
Pasangan terbabit kemudiannya tampil menyerah diri kepada polis pagi tadi sebelum permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.










