KUALA LUMPUR: Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo sekali lagi dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menghasut berhubung kenyataannya yang antara lain mengaitkan kerajaan sebagai pro-Israel dan Barat, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu pada Isnin selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes, sementara pembelaan berjaya menimbulkan keraguan kes melangkaui keraguan munasabah,” katanya.
Pada 8 Jan 2024, Wan Muhammad Azri, 43, didakwa menyebut kata-kata menghasut di Facebook menggunakan akaun atas nama Halid Hamidi atau Halid Mat Kool pada 1 tengah hari, 8 Nov 2023.
Kenyataan itu dilihat oleh seorang lelaki berusia 43 tahun di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu, manakala Wan Muhammad Azri merupakan satu-satunya saksi pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalan, manakala Wan Muhammad Azri diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Pada 3 Sept 2025, Wan Muhammad Azri sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan sama.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor kemudian memerintahkan Wan Muhammad Azri membela diri.










