KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), termasuk pelaksanaan kadar berperingkat yang disasarkan bermula 2027 bagi mengurangkan beban kenaikan bil elektrik pengguna.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penelitian itu dilaksanakan kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) susulan peningkatan kos penjanaan elektrik akibat kenaikan harga bahan api global.
Menurutnya, krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula pada penghujung Februari 2026 mendorong kenaikan harga bahan api seperti gas asli dan arang batu, selain mencetuskan ketidaktentuan pasaran berpanjangan.
Beliau berkata, faktor lain termasuk pengeluaran tenaga hidro yang rendah serta henti tugas berjadual di loji janakuasa arang batu, menyebabkan peningkatan penggunaan gas asli cecair import yang mempunyai kos lebih tinggi.
“Kementerian menyedari peningkatan harga bahan api global serta cuaca panas berpanjangan memberi kesan kepada peningkatan bil elektrik pengguna.
“Pada masa sama, kementerian bersama ST telah mengambil tindakan awal untuk meneliti cadangan penambahbaikan mekanisme AFA sedia ada, termasuk pengenalan AFA berperingkat yang dirancang untuk disasarkan bermula 2027,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menjelaskan punca peningkatan ketara bil elektrik sejak Mei dan Jun 2026, khususnya perubahan kadar AFA daripada rebat 0.47 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) pada April kepada surcaj 2.59 sen pada Jun dan 3.67 sen pada September.
Ahmad Fadhli turut meminta penjelasan mengenai kemungkinan mekanisme AFA dikaji semula bagi mengurangkan beban pengguna.
Abdul Rahman berkata, kerajaan pada 18 September lalu mengumumkan peluasan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik yang menggunakan sehingga 800 kWj sebulan, bersamaan anggaran bil RM328 dan ke bawah.
Menurutnya, perlindungan itu meliputi pengecualian pelarasan AFA, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta caj peruncitan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026.
“Langkah ini memberikan perlindungan tambahan kepada kira-kira 90 peratus atau lapan juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli mengenai kemungkinan mekanisme perlindungan automatik apabila berlaku lonjakan surcaj AFA, Abdul Rahman berkata, kerajaan sedang membincangkan langkah untuk memastikan pengguna terus dilindungi selepas tempoh bantuan berakhir pada Disember ini.
Beliau mengesahkan angka RM437 juta yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas berkaitan kos pelarasan AFA dan bantuan melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Menurutnya, kerajaan menggunakan dana KWIE yang mula dimanfaatkan sejak Mei 2026 bagi membantu menangani kesan kenaikan kos elektrik.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu meneliti kaedah lain bagi memastikan perlindungan dapat diteruskan tanpa membebankan pengguna atau menjejaskan kecukupan dana berkenaan.
“Kita akan melihat mekanisme yang boleh membantu pengguna selepas 2026, supaya seramai mungkin pengguna elektrik dapat terus menikmati perlindungan.
“Kita juga perlu memastikan dana yang ada mencukupi kerana sebahagian besar beban pembayaran ditanggung oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.
Abdul Rahman berkata, kerajaan turut menjalankan usaha memberi nasihat kepada pengguna mengenai penggunaan elektrik secara berhemah, termasuk penggunaan penyaman udara yang boleh menyumbang kepada peningkatan bil.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus meneliti pendekatan yang bersesuaian bagi memastikan bekalan elektrik negara kekal mampu milik, terjamin dan mampan, di samping menjaga kebajikan rakyat.










