KUALA LUMPUR: Seramai 2.17 juta murid telah menebus Baucar Buku MADANI 2026 setakat 19 Oktober, dengan kadar penebusan mencecah 97.34 peratus daripada keseluruhan penerima yang layak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, seramai 2,174,156 murid telah menebus baucar berkenaan daripada 2,234,101 murid institusi pendidikan awam di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang layak menerima baucar bernilai RM100 seorang.
Menurutnya, sebanyak RM230 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program itu pada tahun ini, yang menyasarkan murid sekolah menengah, Kolej Vokasional, matrikulasi, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Tingkatan Enam.
“Bagi tahun 2026, program ini dijadualkan berakhir pada 31 Oktober dan KPM menyasarkan kadar penebusan 100 peratus menjelang tamat tempoh pelaksanaan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta kerajaan menyatakan kadar penebusan Baucar Buku MADANI 2026, statistik bilangan pelajar dan pengajar yang menerima manfaat serta limpahan ekonomi yang dijana tahun ini berbanding 2024 dan 2025.
Wong berkata, sebanyak 5,587,099 naskhah buku telah dibeli menerusi platform Book Capital di bawah KPM setakat pagi Isnin.
Mengulas pelaksanaan program itu bagi tahun terdahulu, beliau berkata, seramai 3,566,544 penerima mendapat manfaat pada 2024, melibatkan peruntukan RM287 juta dan pembelian sebanyak 7,802,518 naskhah buku.
Pada 2025 pula, program itu memberi tumpuan kepada warga pendidik menerusi Baucar Buku Guru MADANI, yang memanfaatkan 428,027 pegawai perkhidmatan pendidikan.
“Program pada 2025 melibatkan peruntukan RM43 juta, dengan sebanyak 1,546,562 naskhah buku dibeli,” katanya.
Menurut Wong, secara keseluruhan, pelaksanaan Baucar Buku MADANI bagi tempoh 2024 hingga 2026 merekodkan pembelian sebanyak 14,936,179 naskhah buku, dengan nilai terkumpul RM489.32 juta setakat 19 Oktober 2026.
Jelasnya, jumlah itu mencerminkan permintaan langsung terhadap buku yang dijana melalui inisiatif kerajaan, sekali gus memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian industri perbukuan termasuk penulis, penerbit, pencetak, pengedar, penjual buku dan penyedia perkhidmatan logistik.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja membantu murid mendapatkan bahan bacaan, malah memperluas pasaran, memperkukuh penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta merancakkan ekosistem industri perbukuan negara.
Menjawab soalan tambahan Syahredzan mengenai kriteria kelayakan penjual dalam ekosistem digital Baucar Buku MADANI, Wong berkata, platform Book Capital kini mempunyai 1,076 penjual aktif dengan 822,842 judul buku ditawarkan.
Katanya, penjual yang berminat boleh terdiri daripada penerbit, penjual dan pengedar buku yang mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, beliau berkata, platform itu turut membuka ruang kepada penulis individu yang tidak mempunyai syarikat berdaftar untuk menyertai ekosistem berkenaan.
“Sejak program ini dilancarkan pada 2024, jumlah penjual aktif meningkat daripada 168 kepada 1,076 setakat ini.
“Jumlah penjual aktif ini dinamik dan boleh meningkat dari semasa ke semasa, selain terdapat penjual yang menjadi tidak aktif. KPM tetap terbuka kepada pihak yang berminat untuk mendaftar sebagai penjual di platform Book Capital,” katanya.










