PAC Siasat Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, Belanja RM10.5 Bilion Tetapi Siap 11.4 Peratus

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memulakan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan kewangan, tadbir urus dan pelaksanaan fizikal projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 susulan kelewatan ketara serta beberapa kelemahan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Parlimen 2026.

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC memandang serius isu berkenaan, khususnya apabila sebanyak RM10.547 bilion atau 94.6 peratus daripada peruntukan RM11.153 bilion telah dibelanjakan, sedangkan hanya empat daripada 35 pakej kerja projek itu berjaya disiapkan.

Beliau berkata, projek sepanjang 706 kilometer itu sepatutnya disiapkan dalam tempoh 69 bulan, dengan sasaran asal pada penghujung 2021.

Bagaimanapun, sehingga 31 Mac 2026, hanya empat pakej kerja atau 11.4 peratus telah disiapkan, manakala baki 31 pakej bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan, walaupun projek berkenaan sepatutnya siap kira-kira lima tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit, 13 pakej mengalami kelewatan daripada jadual ditetapkan, manakala hanya sembilan pakej mendahului jadual,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.

Menurutnya, kelewatan itu turut menyebabkan tarikh siap keseluruhan projek dilanjutkan sehingga 2030, selain kos kontrak meningkat daripada RM17.91 bilion kepada RM18.394 bilion.

Mas Ermieyati berkata, antara penemuan audit yang membimbangkan ialah sebanyak 57 arahan perubahan kerja bernilai RM513.99 juta diluluskan melebihi kuasa yang dibenarkan tanpa kelulusan Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya.

Selain itu, unjuran kos semasa bagi 15 pakej kerja Fasa 1A meningkat sebanyak RM987 juta atau 9.5 peratus kepada RM11.323 bilion berbanding kos siling asal RM10.336 bilion.

Katanya, keseluruhan projek juga berdepan risiko tidak dapat disiapkan sekiranya peruntukan tambahan yang diperlukan tidak diluluskan kerajaan.

“Pembayaran interim sebanyak RM163.64 juta turut dibuat kepada kontraktor dan perunding tanpa ikatan kontrak rasmi, sekali gus mendedahkan kerajaan kepada risiko perundangan,” katanya.

Beliau berkata, audit turut mendapati pertikaian kadar harga susulan arahan perubahan kerja menjejaskan kemajuan projek selama bertahun-tahun, manakala dana pendahuluan kerajaan bagi kerja utiliti berjumlah RM41.37 juta masih belum dituntut semula daripada syarikat utiliti selepas tamat tempoh ditetapkan.

Lebih membimbangkan, kerja pembinaan bagi 19 pakej dimulakan sebelum laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan pihak berkuasa, selain kelemahan sistem maklumat projek yang mengakibatkan kehilangan 77,299 fail data pemantauan.

Menurut Mas Ermieyati, kelemahan yang dikenal pasti merangkumi perancangan projek, penyediaan tapak, pengalihan utiliti, perubahan reka bentuk, pemantauan, pematuhan peraturan serta pengurusan kontrak.

Beliau menegaskan, isu itu bukan sekadar melibatkan kelewatan pembinaan, sebaliknya turut menimbulkan persoalan mengenai integriti, tadbir urus dan akauntabiliti dalam pengurusan wang rakyat.

Katanya, keadaan itu lebih ketara apabila dibandingkan dengan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa 1 yang telah siap walaupun dimulakan dalam tempoh yang hampir sama.

“PAC mempersoalkan bagaimana hampir keseluruhan peruntukan yang disalurkan telah dibelanjakan, sedangkan kemajuan fizikal projek masih jauh ketinggalan dan memerlukan tambahan dana untuk disiapkan.

“Persoalan utama ialah keberkesanan sistem pemantauan sedia ada yang membolehkan pembayaran dibuat sedangkan kemajuan fizikal di tapak tidak sepadan dengan jumlah wang awam yang telah dibelanjakan,” katanya.

Beliau berkata, kelewatan projek itu turut menjejaskan rakyat Sabah yang masih dinafikan akses kepada sistem perhubungan lebih selamat dan cekap.

Malah, kelewatan Fasa 1 juga memberi kesan berantai apabila pelaksanaan LPB Sabah Fasa 2 dan Fasa 3 tidak dapat dimulakan.

Bagaimanapun, PAC mengambil maklum kenyataan Timbalan Menteri 1 merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam bahawa kerja bagi pakej yang belum siap sedang giat dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, sebahagian jajaran mencatatkan kemajuan fizikal antara 90 hingga 93 peratus, manakala lapan pakej sepanjang 179 kilometer dicadangkan dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun ini.

Mas Ermieyati berkata, isu berkenaan turut dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen ketika perbahasan LKAN Siri 2 Parlimen 2026 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, termasuk wakil rakyat Semporna, Beaufort, Balik Pulau dan Kota Belud.

Katanya, Ahli Parlimen Kota Belud juga telah mengemukakan permohonan rasmi kepada PAC supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap projek berkenaan.

Sehubungan itu, PAC akan memanggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, serta agensi dan pihak berkaitan untuk memberikan keterangan dalam prosiding yang akan diadakan.

“Sekiranya prosiding PAC menemukan sebarang petunjuk salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa, PAC tidak akan teragak-agak untuk merujuk dapatan berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

“PAC komited menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi peraturan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles