Istana Selangor Serah Siasatan Kes Penyamaran Kepada PDRM

SHAH ALAM: Pentadbiran Istana Selangor menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes individu yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor bagi memperdaya orang awam.

Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima laporan polis berkaitan individu berkenaan yang didakwa memperdaya orang awam menerusi urusan penjualan tanah dan kereta mewah bagi meraih keuntungan peribadi.

Menurut kenyataan itu, Pentadbiran Istana Selangor memandang serius isu berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus.

“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang awam diminta membuat semakan dengan Pentadbiran Istana Selangor sekiranya terdapat sebarang dakwaan yang mengaitkan kedudukan individu terbabit dengan nama istana bagi menjalankan sesuatu urusan.

Langkah itu bagi membantu orang awam mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan sebelum terlibat dalam sebarang urusan.

Kenyataan itu dikeluarkan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

BBerkaitan

Latest articles