Guan Eng kritik Steven Sim Gagal Tangani Dakwaan Serangan Terhadap Kit Siang

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Guan Eng, mendesak Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, supaya tidak lagi berdiam diri berhubung serangan peribadi yang didakwa dilakukan Pengerusi SME Corp Malaysia, Teng Chang Khim, terhadap Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Teng dilantik sebagai Pengerusi SME Corp oleh Steven Sim pada 18 Mei 2026.

Menurutnya, Teng sebelum ini turut membuat serangan peribadi terhadap beliau susulan pendiriannya supaya pekerja asing sedia ada dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum bulanan sebanyak RM300, selain menghapuskan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi golongan itu.

Beliau mendakwa serangan peribadi Teng kemudian diperluaskan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, meskipun wanita itu tidak memberikan sebarang komen mengenai isu berkenaan.

“Sekarang, Teng memilih untuk membuat serangan peribadi yang tidak diprovokasi terhadap Lim Kit Siang.

“Apakah kesalahan Lim Kit Siang yang sudah bersara sehingga menyinggung perasaan Teng dalam isu ini?” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Isnin.

Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Steven Sim mengharapkan Pengerusi SME Corp lebih banyak mengeluarkan kenyataan politik dan melakukan serangan peribadi berbanding memberikan tumpuan kepada perkara serius berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau menyifatkan Steven Sim sebagai tidak bertanggungjawab dalam kapasiti sebagai menteri dan pemimpin DAP kerana gagal mengambil tindakan terhadap serangan peribadi yang didakwanya dilakukan Teng terhadap Kit Siang.

Menurutnya, Steven Sim berhak menyokong pelaksanaan caruman KWSP dua peratus bagi pekerja asing serta membenarkan golongan itu menikmati kenaikan gaji minimum sebanyak RM300.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membiarkan anggota pasukan yang dilantik menteri berkenaan melancarkan serangan peribadi terhadap bapanya.

BBerkaitan

Latest articles