Ishak Darus seorang warga emas berusia 77 tahun yang juga pesakit angin ahmar yang lumpuh serta baru-baru ini dibantu oleh Ustaz Ebit Lew meninggal dunia hari ini selepas lebih sebulan sempat tinggal di dalam rumah sewa baru yang dicarikan oleh Ebit sebelum ini.
Menurut laporan portal BH Online, isterinya Jamaliah Rejab, 54 tahun, semasa hayat suaminya, hajatnya hanyalah untuk membawa beliau, anak-anak dan cucu berpindah ke rumah yang lebih selesa sudah begitu bermakna baginya.
“Ketika hayatnya, arwah suami pernah beritahu jika hajatnya dapat membawa saya, anak-anak dan cucu berpindah ke rumah yang lebih selesa, itu sudah cukup bermakna buatnya sebelum dia meninggal dunia.
“Sekarang semuanya sudah tertunai, namun dia hanya sempat tinggal di rumah ini selama lebih sebulan sebelum dia pergi buat selamanya,” katanya.
BACA JUGA – Selepas Dapat Rumah, Ustaz Ebit Lew Belikan Tilam, Peti Ais Dan Mesin Basuh
Menurut Jamaliah, suaminya yang mesra dikenali sebagai Pak Ishak meninggal dunia jam 8.30 pagi tadi di rumah mereka di Lorong Fajar, Taman Uda, Jalan Sultanah, Alor Setar, Kedah hari ini.
Katanya, arwah yang menghidap angin ahmar tidak berselera makan sejak beberapa hari lalu dan hanya tidur sepanjang hari sejak mereka berpindah ke rumah baru itu.
“Saya rasa kehilangan sebab kami pernah hidup susah senang bersama di rumah lama di Lorong Gedebang, Jalan Langgar sebelum ini.
“Kami hanya tahu dia sudah tiada apabila makcik yang datang cuci luka di kaki saya (akibat kencing manis) pagi tadi beritahu, arwah suami dah meninggal apabila tiada tindak balas dan saya ingatkan dia tidur, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Jamaliah berkata, arwah yang tidak mampu bercakap akibat sakit angin ahmar, hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan malah suaranya juga tidak jelas.
Katanya, kira-kira jam 7 pagi tadi, dia menunjukkan dadanya sakit dengan menggosok tangan pada dadanya kepada anak lelaki sulung mereka.
“Anak saya sapu minyak pada dadanya sebelum dia keluar bekerja dan lepas itu dia tidur.
“Tak lama kemudian baru saya dimaklumkan arwah dah tak ada,” katanya.
Kisah Pak Ishak dan keluarganya, pernah mendapat liputan meluas bulan lalu apabila pendakwah bebas berkenaan, datang memujuk dan membantunya berpindah ke rumah baru meninggalkan kediaman lama yang daif, bulan lepas.
Pak Ishak meninggalkan isteri yang tidak bekerja dan 10 anak iaitu tiga lelaki dan tujuh perempuan masing-masing berusia 33 hingga 17 tahun.
Lapan daripada 10 anak Pak Ishak tinggal bersamanya di rumah lama di Lorong Gedebang, yang menjadikan keseluruhan isi rumah yang menetap di situ seramai 20 orang.
Jamaliah mendakwa, ketika ini ramai yang datang ke rumah mereka mencemuh anak-anaknya dan menyuruh mereka mengemas rumah disebabkan mereka dapat tinggal di situ.
Katanya, dia akan terus tinggal di situ bersama anak-anaknya dan cucu, selagi termampu.
Sementara itu, Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Mustafa Kamil berkata, pihaknya bersama penduduk kawasan itu berusaha membantu membuat kutipan kecil bagi menguruskan pengebumian arwah Pak Ishak.
Beliau berkata, jenazah Pak Ishak dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda lepas solat Asar petang ini.
Jawatankuasa Peduli Rakyat penduduk taman itu, Nasir Ismail berkata, beliau sudah menghubungi Ustaz Ebit Liew untuk memaklumkan berita kematian Pak Ishak pagi tadi.
Katanya, pihaknya juga akan membantu menguruskan keluarga arwah sejurus urusan pengebumian selesai petang ini.
“Kami tak bantu banyak, cuma yang perlu saja malah sejak mereka berpindah sini kami banyak membantu menguruskan mereka,” katanya. – TRI