‘Pak Guard’ Cabul Murid Lelaki Dipenjara Lapan Tahun, Dua Sebatan

BATU PAHAT: Perbuatan seorang pengawal keselamatan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 10 tahun membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman terhadap Muzaffar Shah Jaamat, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh tahanan selain dikenakan pengawasan polis selepas dibebaskan, selaras dengan Seksyen 26 dan Seksyen 27 akta sama.

Mengikut pertuduhan, Muzaffar didakwa melakukan perbuatan seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah pusat sumber di Batu Pahat kira-kira jam 3.30 petang, bulan lalu.

Jika disabitkan, kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas pihak sekolah menerima maklumat berhubung perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa sebelum satu laporan polis dibuat pada jam 12.51 tengah hari, Isnin lalu.

Siasatan mendapati mangsa mengenali tertuduh dan kedua-duanya sering bermain permainan dalam telefon bimbit di pusat sumber berkenaan.

Bagaimanapun, ketika berada di lokasi itu, tertuduh bertindak menarik seluar mangsa sebelum membukanya.

Mangsa kemudian menceritakan kejadian berkenaan kepada guru kelasnya, sekali gus membawa kepada laporan polis dan siasatan lanjut.

Bertindak atas maklumat, polis menahan Muzaffar kira-kira jam 8.50 malam hari sama ketika dia sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BBerkaitan

Latest articles