NGO Pengurusan Jenazah Didakwa Caj Waris Selepas Tawar Khidmat Percuma

MELAKA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali aktif menguruskan jenazah di negeri ini menjadi bualan hangat selepas timbul dakwaan meminta bayaran daripada waris seorang kanak-kanak, walaupun urusan pengebumian pada awalnya dikatakan disediakan tanpa sebarang caj.

Perkara itu didedahkan oleh aktivis sosial merangkap pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai menerusi satu hantaran di Facebook yang mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Menurut beliau, wakil NGO terbabit telah memaklumkan kepada keluarga mangsa ketika berada di hospital bahawa keseluruhan proses pengurusan jenazah akan dilaksanakan secara percuma.

Bagaimanapun, beliau mendakwa kira-kira seminggu selepas pengebumian selesai, bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu menerima satu mesej yang meminta sejumlah wang.

Beliau berkata, apabila perkara itu dipersoalkan oleh waris, pihak berkenaan menjelaskan wang yang diminta adalah berbentuk sumbangan atau infak.

Namun, beliau mendakwa jumlah yang perlu dibayar telah ditetapkan terlebih dahulu.

Mr Wan Chai menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak beretika kerana didakwa berlaku ketika keluarga masih dalam keadaan berduka akibat kehilangan anak.

Dalam hantaran sama, beliau turut memberi bayangan akan mendedahkan lebih banyak maklumat berkaitan NGO terbabit dalam masa terdekat menerusi media sosial.

Sementara itu, wakil NGO berkenaan yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan memilih untuk tidak mengulas dakwaan tersebut.

Sehingga kini, dakwaan yang dibangkitkan itu masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada pihak NGO berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles