Nasib KJ Dalam UMNO Akan Diketahui Hari Ini Atau Selewat-lewatnya Jumaat

KUALA LUMPUR: Selepas membuat dakwaan ‘perwakilan import’ di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini, satu tindakan disiplin akan dikenakan terhadap bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dipercayai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka membuat keputusan itu pada Jumaat ini.

Malah para media yang berkumpul di lobi ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini dimaklumkan MKT UMNO akan bermesyurat pada Jumaat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan hari ini memberitahu, status keahlian Khairy Jamaluddin dalam parti akan diketahui petang ini.

Mohamad mengesahkan perkara itu dalam sidang media selepas membuat tinjauan kerja ke tapak pembinaan perumahan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Sungai Besi, hari ini.

“Petang ini,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita.

Bagaimanapun media yang berkampung di Menara Dato’ Onn mendapati tidak ada sebarang kelibat pemimpin UMNO yang hadir.

Beberapa sumber memberitahu hanya Lembaga Disiplin UMNO mengadakan mesyuarat.

Terdahulu, pada PAU2022, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan mendakwa adanya ‘perwakilan import’ bagi mengundi usul jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

Beliau mendakwa beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena PAU 2022.

Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Susulan kejadian itu juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan isu itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk dibincangkan.

BBerkaitan

Latest articles