KUALA LUMPUR: PKR menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘beberapa orang’ yang meninggal dunia akibat COVID-19 adalah tidak munasabah.
Dengan itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri lagi selepas ini.
“Dia kata hanya beberapa bilangan orang sahaja yang meninggal akibat COVID-19. Bilangan terbanyak orang mati di bawah pengawasan Muhyiddin,” katanya pada Ceramah Mega Finale Pakatan Harapan (PH) di Padang Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, malam tadi.
Selasa lalu, Muhyiddin dalam salah satu ceramah kempen PN berkata: “Dalam badan saudara (rakyat) ada sumbangan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan duit saudara supaya nyawa saudara terselamat. Alhamdulillah”
“Pada hari ini semua yang hadir terselamat daripada jangkitan COVID-19. Hanya beberapa bilangan sahaja yang telah pun mati atau meninggal dunia,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Sementara itu, Fahmi yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Lembah Pantai berkata, ekonomi negara akan meningkat jika PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, mereka yang berhijrah ke luar negara akan kembali dan trend tersebut dapat dilihat pada 2018.
Tambah beliau, calon PH yang dipilih untuk bertanding PRU15 tidak akan memperkayakan diri sendiri, sebaliknya mereka akan memperjuangkan kepentingan rakyat. L