REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Luar sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata beliau akur dengan sebarang keputusan memandangkan pelantikan atau penamatan jawatan anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah hak mutlak Perdana Menteri.
”Terpulanglah kepada Perdana Menteri kerana beliau yang melantik menteri dan timbalan menteri.
”Jika ada arahan Perdana Menteri untuk saya meletak jawatan, saya tak ada keberatan untuk meletakkan jawatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar sebelum ini yang mengingatkan mana-mana anggota pentadbiran supaya melepaskan jawatan sekiranya berterusan memburukkan Kerajaan Perpaduan.
Mengulas mengenai kempen BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Mohamad menjelaskan gerak kerja parti itu hanyalah bertujuan menyampaikan mesej kepada pengundi dan tidak mengandungi sebarang unsur memburukkan kerajaan sedia ada.
Menyifatkan kenyataan politik sepanjang tempoh berkempen sebagai satu lumrah, beliau berkata perbezaan pandangan tidak sepatutnya dianggap sebagai permusuhan peribadi antara parti yang bertanding.
”Statement (kenyataan) politik biasalah, saya pun tak kecil hati. Dalam pilihan raya ini, kempen biasalah… tak bermakna kita nak bermusuh secara peribadi. Kita nak rakyat faham dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan para pengundi agar tidak mudah terpedaya dengan kandungan berbaur fitnah yang disebarkan menerusi media sosial termasuk aplikasi WhatsApp, karikatur, dan hantaran daripada akaun palsu menjelang hari pengundian.
Beliau turut menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan menteri dan timbalan menteri daripada BN susulan gesaan Angkatan Muda Harapan (AMH) sebelum ini yang mahu mereka melepaskan jawatan ekoran kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN berkenaan.










