KLANG: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyatakan kesediaannya mengemukakan semula surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, namun menetapkan satu syarat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Akmal berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan semula surat peletakan jawatan itu sekiranya Nga turut mengambil tindakan sama dengan melepaskan jawatan sebagai menteri.
Menurutnya, sebaik sahaja Nga mengemukakan surat peletakan jawatan, beliau akan melakukan perkara yang sama pada hari tersebut.
“Saya terima cabaran untuk hantar semula surat letak jawatan.
“Tetapi dengan satu syarat. Minta Nga Kor Ming hantar sekali surat letak jawatan bersama saya. Hari dia hantar, hari itu juga saya akan hantar surat saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Kapar di Dewan Serbaguna Bandar Sultan Suleiman, hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap cabaran bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim yang menggesa Akmal mengemukakan semula surat peletakan jawatannya selepas mempertikaikan alasan bahawa beliau gagal berundur kerana peletakan jawatan itu tidak diperkenankan Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Teng sebelum ini mendakwa tiada sebarang peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka yang membolehkan peletakan jawatan seseorang Exco ditolak, sekali gus menyifatkan alasan diberikan Akmal tidak berasas.
Dalam perkembangan berkaitan, Nga sebelum ini menafikan dakwaan bahawa beliau pernah berjanji akan melepaskan jawatan sebagai menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mengulas desakan supaya beliau menunaikan janji berkenaan, Timbalan Pengerusi DAP itu menegaskan kenyataannya telah disalah tafsir dan tidak pernah dikaitkan dengan keputusan PRN Johor.
Sebaliknya, Nga menjelaskan beliau hanya berikrar akan meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibebaskan daripada hukuman penjara dalam kes SRC International kerana situasi itu, menurutnya, akan menjejaskan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara.










