Sufian Fokus Santuni Seramai Mungkin Pengundi Di Sri Menanti

KUALA PILAH,— Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Menanti, Sufian Maradzi, berkata strategi kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini akan memberi tumpuan kepada usaha menyantuni seramai mungkin pengundi, mengambil kira komposisi kawasan yang majoritinya terdiri daripada kampung tradisi serta sebahagian besar pengundi berada di luar kawasan.

Menurut beliau, DUN Sri Menanti mempunyai kampung tradisi, dua perkampungan Orang Asli serta beberapa kawasan taman perumahan, selain kira-kira 65 peratus pengundinya menetap di luar kawasan.

“Atas sebab itu, kami akan cuba menyantuni seberapa ramai pengundi yang boleh dengan turun ke sebanyak mungkin rumah untuk memperkenalkan Barisan Nasional. Kali ini BN bertanding secara solo dan Sri Menanti menyaksikan pertandingan tiga penjuru,” katanya ketika ditemui di kampung Talang Tengah di sini, hari ini.

Sufian yang juga penyandang kerusi Dun Sri Menanti itu berkata beliau yakin tawaran yang dibawa BN mampu memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan, khususnya penduduk di Sri Menanti.

Mengulas mengenai sambutan terhadap BN selepas kemenangan besar gabungan itu di Johor, beliau berharap momentum berkenaan dapat diterjemahkan di Negeri Sembilan pada PRN kali ini.

“Alhamdulillah, kami mengharapkan gelombang Johor dibawa ke Negeri Sembilan. Saya yakin rakyat ada yang merindui Barisan Nasional kerana rekod pentadbiran BN yang banyak membawa pembangunan kepada negeri dan negara.

“Sudah tentu tidak ada kerajaan yang sempurna, tetapi rakyat boleh menilai sendiri banyak perkara positif yang telah dilakukan sepanjang BN mentadbir,” katanya.

Beliau turut menyeru pengundi Sri Menanti yang berada di luar kawasan supaya pulang mengundi pada 1 Ogos depan bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya mengharapkan semua pengundi Sri Menanti yang berada di luar dapat pulang mengundi pada 1 Ogos. Kepada ahli keluarga dan rakan-rakan, sama-samalah mengajak mereka pulang dan mengundi Barisan Nasional.

“Kita mahu memberikan yang terbaik untuk Negeri Sembilan. Ini negeri kita dan saya berharap rakyat memberi peluang kepada Barisan Nasional untuk kembali mentadbir negeri ini,” katanya.

Sufian juga mengingatkan pengundi supaya memilih calon BN dengan memangkah simbol dacing pada kertas undi.

DUN Seri Menanti  menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (PH), penyandang Sufian Maradzi (BN) dan Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin (Bersatu).

BBerkaitan

Latest articles