IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri serta pemegang jawatan dalam agensi kerajaan agar tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau menegaskan, mana-mana anggota pentadbiran yang memilih untuk menggunakan jawatan di peringkat Persekutuan sebagai platform menyerang rakan gabungan politik ketika berkempen perlu bersedia melepaskan jawatan masing-masing.
Menurut Anwar, individu terbabit tidak boleh mencampuradukkan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran kerajaan dengan persaingan politik di peringkat negeri kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan disiplin serta hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kalau dia pegang jawatan daripada Persekutuan, dia tidak boleh menyerang dan menjadikan kedudukan itu sebagai medan politik untuk menyanggah rakan sendiri kerana dia perlu menjaga disiplin.
“Kalau dia pilih untuk berbuat demikian, dia harus undur daripada jawatan yang disandang. Kita mesti pastikan perkara ini tidak dilanggar dan jika berlaku pelanggaran, saya akan minta mereka berundur,” katanya di sidang media selepas menghadiri Program Madani Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, hari ini.
Anwar turut memaklumkan ketetapan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.
Katanya, semua calon yang memegang jawatan dalam kerajaan diingatkan supaya menumpukan kempen kepada isu-isu berkaitan negeri dan tidak menjadikan pentas PRN sebagai medan menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau menegaskan, kerajaan mahu memastikan hubungan kerjasama di peringkat Persekutuan terus kekal kukuh bagi menjamin kelancaran pentadbiran negara, meskipun berlaku persaingan politik di peringkat negeri.
“Setakat ini kita minta mereka kawal keadaan supaya hubungan di Persekutuan kekal baik dan urusan pentadbiran kerajaan dapat diteruskan.
“Biarlah pertandingan berlaku di peringkat negeri, tetapi jangan sampai menjejaskan kerjasama dalam kerajaan,” katanya.










