KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memecat semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Warisan (WARISAN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya kerajaan benar-benar mahu konsisten dalam isu kerjasama politik melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Akmal menganggap gesaan Pemuda Pakatan Harapan (PH) supaya menteri dan timbalan menteri BN meletakkan jawatan susulan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sebagai tidak konsisten serta mengamalkan layanan berbeza.
Menurutnya, jika alasan digunakan ialah sesebuah parti bertanding menentang PH dalam pilihan raya negeri, maka prinsip sama perlu dikenakan terhadap WARISAN yang bertanding menentang PH pada PRN Sabah tahun lalu.
Beliau berkata, perkara itu juga sepatutnya terpakai kepada GPS sekiranya gabungan dari Sarawak itu memilih bertanding menentang PH pada PRN akan datang.
“Kalau benar mahu berlaku adil, saya cabar Perdana Menteri buang semua menteri dan timbalan menteri BN, WARISAN serta GPS. Sila sahut cabaran ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, Akmal menegaskan pendirian Pemuda UMNO tidak pernah berubah apabila terus berpandangan parti itu wajar meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, pendirian berkenaan sudah disuarakan sejak awal tahun ini dan kekal menjadi pegangan sayap parti itu sehingga kini.
Kontroversi itu tercetus selepas Pemuda PH mempersoalkan komitmen BN terhadap Kerajaan Perpaduan susulan keputusan gabungan itu bekerjasama dengan PN pada PRN Negeri Sembilan.
Pemuda PH turut menggesa menteri dan timbalan menteri daripada BN melepaskan jawatan mereka, selain membangkitkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan berpotensi menjadi model kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Terdahulu, Anwar memberi amaran kepada semua menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada PRN.
Beliau turut menegaskan mana-mana anggota pentadbiran yang melanggar prinsip itu boleh diminta mengundurkan diri daripada jawatan masing-masing.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman turut mempersoalkan tindakan Pemuda PH yang disifatkannya keterlaluan apabila mendesak menteri BN meletakkan jawatan.
Menurut pemimpin PAS itu, beliau hairan mengapa PH dilihat begitu bimbang terhadap persefahaman BN-PN yang ketika ini hanya melibatkan PRN Negeri Sembilan.
Syahir turut mempersoalkan mengapa desakan sama tidak dibuat ketika BN dan PH bertanding menentang satu sama lain di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor sebelum ini.
Untuk rekod, pada PRN Negeri Sembilan, PH memilih bertanding secara solo di semua 36 kerusi DUN, manakala BN menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan PN. Pada PRN Johor pula, PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya membantu calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.










