Muhyiddin Sambut Baik Pengumuman PM Bantu Rakyat, Peniaga

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik langkah-langkah terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu sektor perniagaan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, penyesuaian had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan serta peningkatan ambang pengecualian pelaksanaan e-invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun dijangka dapat memberi kelegaan nyata kepada rakyat dan peniaga yang terkesan dengan kenaikan kos.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif lain yang turut diumumkan dijangka dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam dalam sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital, di samping merancakkan kembali sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Antaranya termasuk peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah-sekolah berjumlah RM500 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan, akses kepada langganan perisian kecerdasan buatan (AI) untuk belia, penambahan kemudahan mikro kredit RM1 bilion serta geran RM200 juta untuk penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Susulan pengumuman berkenaan, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan agar kementerian dan agensi kerajaan berkaitan bertindak pantas menyalurkan peruntukan yang ditetapkan tanpa sebarang kelengahan.

Jelas beliau, langkah memastikan bantuan sampai secara terus kepada individu dan premis perniagaan yang betul-betul layak adalah amat kritikal.

Dalam masa sama, Muhyiddin berharap inisiatif berkenaan akan disusuli dengan pelan tindakan yang lebih komprehensif menerusi pembentangan Belanjawan 2027 kelak demi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Ini termasuk mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles