Melaka Lokasi Alternatif Penganjuran LIMA Masa Depan

​MELAKA: Melaka berpotensi dijadikan lokasi baharu penganjuran Pameran Maritim dan Aerangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada masa hadapan sekiranya Pulau Langkawi tidak lagi sesuai.

​Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kawasan Klebang dilihat strategik berikutan kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Batu Berendam selain memiliki akses laluan laut untuk persinggahan kapal-kapal tentera.

​Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan berkenaan memerlukan pelaburan gergasi daripada kerajaan bagi melengkapkan pelbagai infrastruktur asas sebelum ia dapat direalisasikan.

​”Apabila penganjuran dibuat di Langkawi, tidak ramai rakyat yang berpeluang hadir. Tetapi jika di Melaka, seluruh rakyat dari pelbagai negeri boleh datang.

​”Jadi ia satu alternatif yang boleh kita terokai dan seperti mana kata Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), ia sememangnya memerlukan pelaburan yang sangat besar,” katanya.

​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di Dataran 1Malaysia, Klebang, hari ini.

​Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

​Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu, cetusan idea itu timbul susulan kejayaan penyertaan enam kapal Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) dalam Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka, tahun ini.

​Sementara itu, Ab Rauf menyambut baik ilham berkenaan dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah acara dwitahunan bertaraf antarabangsa itu.

​Namun menurutnya, penilaian terperinci mengenai kemampuan kewangan serta pulangan manfaat kepada negeri dan Persekutuan perlu dibuat terlebih dahulu.

​”Melaka sememangnya lokasi strategik, tetapi kita kena lihat juga kemampuan kita.

​”Perkara ini boleh dibincangkan di peringkat Persekutuan kelak. Sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak, kenapa tidak boleh kita laksanakan, insya-Allah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles