Lelaki Ditahan Selepas Didakwa Fitnah Tok Batin, Sebar Tuduhan Terhadap Jaslinda

IPOH: Polis menahan seorang lelaki berusia sekitar 30-an yang dipercayai terlibat menyebarkan fitnah serta kenyataan mengaibkan terhadap Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu berkaitan kes kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, menerusi siaran langsung di TikTok.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, suspek ditahan di sebuah kediaman di Ipoh kira-kira jam 1 tengah hari semalam bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurut beliau, pihak polis akan memohon perintah reman terhadap lelaki terbabit di Mahkamah Tapah hari ini bagi membolehkan siasatan diteruskan secara menyeluruh.

Sebelum ini, Abdul Malik memaklumkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Setakat ini, sebanyak 11 laporan polis diterima berkaitan dakwaan yang tular di media sosial itu.

Kontroversi tercetus selepas suspek menerusi siaran langsung di TikTok mendakwa Jaslinda telah “disimpan” oleh Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Mohd Asmmadi Abdullah sepanjang tempoh wanita itu dilaporkan hilang.

Malah, dia turut membuat dakwaan bahawa tok batin berkenaan mungkin akan berkahwin dengan Jaslinda sekiranya isu tersebut tidak menjadi perhatian umum.

Susulan kecaman pelbagai pihak, lelaki itu semalam tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Sabtu lalu, Jaslinda, 49, ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk KOA Lubuk Gaharu selepas dilaporkan hilang selama 14 hari ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 24 Mei lalu. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles