KUALA LUMPUR: Lapan negara Islam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir terhadap peserta flotila yang ditahan rejim Zionis, dengan menyifatkan layanan diberikan sebagai mengerikan, menghina dan langsung tidak boleh diterima.
Dalam kenyataan bersama semalam, menteri luar dari Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu menegaskan tindakan mengaibkan tahanan secara terbuka itu merupakan serangan memalukan terhadap maruah manusia serta pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mereka turut mengecam tindakan hasutan dan keganasan yang didakwa dilakukan Ben-Gvir bersama beberapa pegawai Israel lain terhadap rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki.
Menurut kenyataan itu, provokasi berterusan oleh pemimpin Israel hanya akan menyemarakkan kebencian, mengukuhkan ekstremisme serta menggagalkan usaha mewujudkan keamanan yang adil dan berkekalan menerusi penyelesaian dua negara.
Sehubungan itu, kesemua negara terbabit menuntut agar Ben-Gvir dipertanggungjawabkan atas tindakannya selain mendesak langkah tegas diambil bagi menghentikan pelanggaran berulang terhadap hak rakyat Palestin.
Mereka turut menegaskan kepentingan mempertahankan hak asasi manusia, memastikan semua tahanan diberikan layanan berperikemanusiaan serta mematuhi undang-undang antarabangsa di wilayah Palestin yang diduduki.










