Lagi Isu Usul, Ahmad Dan Peguam UMNO Akan Jumpa RoS

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu beliau bersama barisan peguam parti itu akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam waktu terdekat.

Pertemuan itu, menurut Ahmad, bagi membuat penjelasan berhubung proses Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dan pengundian dijalankan secara teratur dan mengikut peraturan serta perlembagaan parti.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Peraturan 2.1 Persidangan UMNO menetapkan jika ada berbangkit sebarang masalah (ketika persidangan), maka Pengerusi Tetap berkuasa membuat keputusan dan keputusannya itu adalah muktamad.

“Pemberian kuasa kepada Pengerusi Tetap ini adalah bagi memastikan perjalanan PAU adalah teratur namun tidaklah terlalu mengikat perwakilan kerana matlamat perhimpunan agung membincangkan dan memutuskan isu-isu berkenaan dasar parti seperti mana diperuntukkan di bawah Fasal 8.3.1 Perlembagaan UMNO,” katanya memetik BH.

Terdahulu Ahmad ditanya tindakan dua ahli UMNO mendesak ROS meneliti laporan persidangan PAU 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang, yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti.

Semalam aduan kepada ROS di buat ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.

Mereka mendakwa usul berkenaan adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Ahmad turut menyertakan kenyataan peguam UMNO yang antara lain menjelaskan pencadang usul tambahan (wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin) mencadangkan pindaan dengan menambah usul kelapan menggunakan Peraturan Persidangan 20.3.3.

Berdasarkan peraturan persidangan itu, ‘Sesuatu masalah, apabila dikemukakan (semula) oleh Pengerusi, bolehlah dipinda menurut semua atau mana-mana jua cara yang tersebut di bawah: Dengan dimasukkan atau ditambah perkataan-perkataan lain.”

Katanya, Pengerusi Tetap pada ketika itu sudah mengambil keputusan membenarkan pindaan tambahan itu dengan syarat Penyokong Usul (Terengganu) menyokong seperti mana di bawah Fasal 21.1 Peraturan Persidangan.

Peraturan itu menyatakan: “Dalam Persidangan, sesuatu usul atau pindaan itu tidak akan dikemukakan oleh Pengerusi kecuali jika usul atau pindaan itu telah disokong.”

Setelah Penyokong Usul menyokong pindaan itu, maka Pengerusi Tetap mengambil keputusan untuk mengemukakan pindaan tambahan itu ke perbahasan.

Keputusan Pengerusi Tetap itu adalah satu keputusan muktamad mengikut Peraturan Persidangan 2.1 seperti dinyatakan.

Kenyataan peguam UMNO itu menyebut ketika tempoh perbahasan, diadakan forum untuk pembahas membahaskan persetujuan atau tidak terhadap pindaan tambahan itu bagi perwakilan untuk mempertimbangkan berkenaan usul-usul itu.

“Terpenting, pucuk pangkalnya, boleh dikatakan lebih daripada 90 peratus perwakilan bersetuju dengan pindaan tambahan itu dengan mengangkat tangan, menyatakan persetujuan malahan mereka berdiri.

“Pengundian ini dijalankan seperti mana Peraturan Persidangan 27.5 iaitu…. setelah tamat perbahasan dengan suara setuju atau tidak dengan mengangkat tangan dan keputusan itu hendaklah diumumkan oleh Pengerusi”,” katanya.

Peguam berkenaan juga menyatakan PAU mempunyai amalan demokrasi yang teratur.

“Sekiranya perwakilan tidak bersetuju dengan pindaan itu, perwakilan boleh bangun untuk menyatakan ketidaksetujuan.

“Namun begitu, ketika pengundian dijalankan ada beberapa puluh orang saja perwakilan yang angkat tangan / bangun untuk menyatakan ketidaksetujuan.

“Maka, usul pindaan itu sudah pun menjadi ketetapan PAU dan ia telah menjadi suatu perintah atau dasar parti yang perlu dituruti oleh setiap ahli UMNO,” katanya.

Ahmad bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan dua ahli UMNO yang membuat aduan kepada ROS sama ada mengikut peraturan parti atau sebaliknya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,683FollowersFollow
20,500SubscribersSubscribe

Terkini