Kuasa Pengampunan Hak Perlembagaan, Jangan Pilih-pilih Prinsip

KUALA LUMPUR: Prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh ditafsir secara terpilih dengan hanya mengiktiraf keputusan mahkamah, sedangkan kuasa pengampunan, pengurangan hukuman dan parol turut diperuntukkan secara sah di bawah undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pendirian Pakatan Harapan (PH) yang mahu pesalah rasuah menjalani hukuman penuh seperti diputuskan mahkamah seolah-olah mengetepikan mekanisme lain yang sah dalam sistem perundangan negara.

Menurutnya, mahkamah mempunyai bidang kuasa menentukan kesalahan seseorang dan menjatuhkan hukuman, manakala pelaksanaan hukuman pula tertakluk kepada mekanisme yang diperuntukkan undang-undang.

“Mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah dan menjatuhkan hukuman.

“Pihak eksekutif pula melaksanakan hukuman mengikut undang-undang, termasuk melalui pengurangan hukuman dan parol.

“Pada masa sama, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa untuk memberi pengampunan, penangguhan serta pengurangan hukuman kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata, kuasa pengampunan merupakan kuasa perlembagaan yang berasingan dan sah, justeru mengiktiraf kewujudannya juga adalah sebahagian daripada usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Beliau turut membangkitkan mekanisme parol dengan mengambil contoh bekas Menteri Sabah, Datuk Peter Anthony, yang mula menjalani hukuman penjara tiga tahun pada Mac tahun lalu sebelum dibebaskan melalui parol kira-kira setahun kemudian di bawah mekanisme Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, ketika itu tidak timbul bantahan besar daripada PH supaya Anthony diwajibkan menjalani keseluruhan tempoh hukuman, walaupun beliau didakwa mempunyai kecenderungan terhadap gabungan berkenaan.

“Jika semua hukuman mahkamah wajib dijalani 100 peratus tanpa sebarang kemungkinan pengurangan, pembebasan atau pengampunan, mengapa sistem pengurangan hukuman dan parol, Lembaga Pengampunan serta Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan diwujudkan?” soalnya.

Wee menegaskan prinsip sama perlu diterapkan secara konsisten tanpa mengira siapa individu yang terlibat.

“Kedaulatan undang-undang bukan bermakna kita hanya menghormati keputusan mahkamah tetapi mengetepikan mekanisme lain yang turut diperuntukkan undang-undang dan Perlembagaan.

“Jika benar-benar mahu mempertahankan institusi negara, kita mesti menghormati kesemuanya – badan kehakiman, undang-undang yang dilaksanakan pihak eksekutif serta kuasa pengampunan yang diberikan kepada Raja-Raja.

“Prinsip tidak boleh berubah hanya kerana nama individu itu berbeza,” katanya.

Kenyataan Wee itu menyusul selepas Majlis Sekretariat PH pada Rabu mengeluarkan pendirian tanpa menamakan mana-mana individu atau kes, ketika timbul laporan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadual bermesyuarat minggu ini bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib, 72, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International.

Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.

Pada 22 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman yang telah dikurangkan itu di bawah tahanan rumah.

Najib kemudian menarik balik rayuannya terhadap keputusan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles