KPWKM terajui perancangan dasar Malaysia hadapi status negara tua menjelang 2030 – Rina Harun

KUALA LUMPUR — Kerajaan telah memformulasikan Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara bagi membuat perancangan dan mengambil langkah sewajarnya dalam menghadapi status negara tua pada 2030.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata Malaysia pada 2030 akan mencapai status tersebut apabila dijangka 15.3 peratus daripada populasi rakyat negara ini berumur 60 tahun dan ke atas.

Menurutnya, tindakan dan usaha bersepadu antara kementerian dalam mempertingkatkan penjagaan, perlindungan dan sokongan bagi membolehkan warga emas menjadi anggota masyarakat yang sihat dan aktif dilaksanakan secara berterusan.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah kajian-kajian holistik yang menjurus kepada persediaan negara ke arah menjadi negara tua merangkumi kesihatan, ekonomi dan sosial.

“Kajian semula Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati.

“Kajian pewujudan satu akta khusus bagi warga emas memfokuskan kepada promosi dan perlindungan hak asasi warga emas,” katanya lagi.

Rina berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Hasan Bahrom (BN-Tampin) yang mahu mengetahui perancangan yang strategik dan tuntas dalam mendepani era negara sebagai sebuah negara tua.

Selain itu, Hasan bertanya mengenai perancangan yang lebih konkrit bagi memposisikan kumpulan profesional yang telah berpencen, supaya mereka terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Mengulas soalan itu, Rina berkata, bagi penjawat awam yang telah bersara dan masih ingin menyumbang kepada pembangunan negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia mengenai Kaedah Pelantikan Pegawai Dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-urusan Lain Berkaitan Pelantikan yang berkuat kuasa 1 Jan 2022.

“Pekeliling ini memperuntukkan pesara yang telah bersara atau dibersarakan mengikut undang-undang pencen layak dipertimbangkan untuk dilantik semula secara kontrak bagi jawatan di Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Kumpulan Sokongan.

“Pesara boleh dilantik semula secara kontrak bergantung kepada keperluan sesebuah agensi terhadap perkhidmatan yang boleh disumbangkan dan disahkan sihat oleh pengamal perubatan atau pergigian berdaftar,” katanya lagi.

Bagi tujuan memposisikan kumpulan profesional yang telah berpencen untuk mereka terus menyumbang kepada pembangunan negara, Rina berkata, ia terletak di bawah bidang tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia.

“Portal MyFutureJobs yang menawarkan peluang pekerjaan berjaya menempatkan 245 orang warga emas dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi tempoh 1 Jan sehingga 22 April 2022.

“Sehingga 31 Mac 2022, Program Seniors back in Action (SEBA), salah satu inisiatif di bawah HRDCorp, berjaya menempatkan 51 orang warga emas menjana pendapatan melalui penawaran pekerjaan yang lebih produktif bersesuaian dengan keperluan pesara,” katanya lagi.

Rina berkata, inisiatif “Hiring Seniors” di bawah TalentCorp dilihat selari dengan aspirasi penuaan aktif melalui pemerkasaan ekonomi warga emas dengan menumpukan kepada kategori M40 dan ke atas (golongan profesional).

BBerkaitan

Latest articles