KOTA KINABALU: BERSATU kekal dengan pendirian enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal kehilangan kerusi berdasarkan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata nasib keenam-enam mereka akan diketahui tidak lama lagi selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang akan dipengerusikannya dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pindaan perlembagaan BERSATU menjelaskan, tindakan Ahli Parlimen terbabit jelas menyebabkan keahlian mereka gugur secara automatik, sekali gus kerusi yang diduduki menjadi kosong dan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.
“Perlembagaan parti yang kita pinda dan diluluskan oleh ROS menyatakan kalau hal sebegini berlaku keahlian itu terhenti, maka dia tidak jadi ahli, tergugur begitu sahaja secara automatik.
“Kalau mengikut Perlembagaan Persekutuan dan akta antilompat parti, kerusi itu sudah kosong tapi proses itu adalah dengan kita mengambil tindakan seperti disebutkan Datuk Hamzah (Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen BERSATU Sabah di sini, hari ini.
Muhyiddin diminta mengulas sama ada PRK perlu diadakan di enam kerusi Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Perdana Menteri selepas pindaan perlembagaan parti itu diluluskan ROS.
“Itu pandangan kami dan ia sebab pindaan terhadap perlembagaan parti sudah diluluskan oleh ROS, jadi kita hanya menunggu masa, mungkin tidak berapa lama lagi hari itu akan berlaku,” katanya.
Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) masih belum memutuskan mengenai bilangan kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN dan Bersatu akan menyertai PRN Sabah ke-17, namun soal bilangan kerusi bakal ditandingi pada pilihan raya itu belum lagi dibuat masa ini kerana masih terlalu awal.