KPDN, TikTok Shop Gerakkan Agenda Perkasa Produk Tempatan, Sara Hidup Rakyat

​AMPANG: Di sebalik kebimbangan negara terhadap tekanan inflasi global ekoran konflik geopolitik yang berlarutan di Asia Barat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah proaktif melindungi ekonomi domestik menerusi pemerkasaan usahawan tempatan.

​Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, walaupun kadar inflasi negara ketika ini terkawal pada paras sekitar 1.8 hingga 2.0 peratus, kerajaan tidak boleh leka memandangkan situasi luar jangka di peringkat antarabangsa mampu memberi impak langsung kepada kos sara hidup rakyat.

​Sebagai benteng mendepani cabaran tersebut, beliau menegaskan bahawa penganjuran Pesta JomLokal 2026: Lokal Jaga Lokal anjuran TikTok Shop merupakan platform strategik untuk menyuntik daya tahan ekonomi usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

​”Kita tidak boleh mengawal konflik di Asia Barat, tetapi kita boleh mengawal kesiapsiagaan ekonomi domestik kita.

“​Melalui kempen ‘Lokal Jaga Lokal’, kita mahu memastikan rantaian bekalan tempatan terus kukuh supaya pergantungan kepada produk import dapat dikurangkan,” katanya ketika merasmikan pesta berkenaan di Ampang, baru-baru ini.

​Mengulas lanjut mengenai kegusaran rakyat terhadap isu semasa, Armizan tidak menolak kemungkinan wujudnya cubaan manipulasi harga oleh peniaga tidak bertanggungjawab, susulan pelaksanaan skim penyelarasan gaji penjawat awam yang membabitkan implikasi kewangan belasan bilion ringgit tahun ini.

​Bagaimanapun, beliau memberi amaran keras bahawa KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan peningkatan kuasa beli rakyat tidak dieksploitasi.

​”Kerajaan sudah menaikkan gaji untuk membantu rakyat mendepani kos sara hidup, bukannya untuk memberi ruang kepada pihak tertentu menaikkan harga barang sesuka hati.

​”Sebab itu, inisiatif seperti Pesta JomLokal ini penting. Ia menawarkan ekosistem perdagangan adil (fair trade) melalui platform e-dagang yang telus, sekali gus memberi alternatif harga yang lebih kompetitif kepada pengguna,” jelasnya lagi.

​Bagi memastikan ekosistem perniagaan digital kekal selamat di tengah-tengah kebanjiran produk luar, Armizan turut mengumumkan KPDN sedang merangka undang-undang baharu e-dagang yang dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum penghujung tahun 2026.

​Langkah itu diambil bagi menggantikan Akta Perdagangan Elektronik sedia ada demi melindungi hak pengguna serta usahawan tempatan daripada ancaman persaingan tidak sihat.

​Pesta JomLokal 2026 yang berlangsung meriah itu berjaya menghimpunkan hampir 1,000 usahawan tempatan dan pencipta kandungan (content creators), sebagai usaha bersama memacu kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ ke tahap yang lebih digital dan dinamik.

BBerkaitan

Latest articles