Kompaun RM10,000 Akan Diperincikan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 esok.

“Kita akan terus kekalkan ordinan kompaun RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat  tetapi kerajaan memberi jaminan untuk selesaikan pelaksanaannya termasuk pengeluaran saman kepada mereka yang melakukan kesalahan,” katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 ke Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Lebih lanjut, Takiyuddin berkata kompaun berjumlah RM10,000 sebagai tidak wajar jika kesalahan yang dilakukan adalah kecil seperti tidak memakai pelitup muka.

“Ketegasan undang-undang perlu ada tetapi pada masa yang sama budi bicara juga perlu ada bagi mewujudkan keseimbangan di antara kedua-duanya,” katanya.

Beliau juga menegaskan kompaun tersebut bukan bertujuan menghukum sebaliknya berperanan sebagai langkah pencegahan dan pengajaran agar matlamat kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini tercapai.

BBerkaitan

Latest articles